Khasiat pegaga
>> Selasa, 26 April 2011
[SH] Pegaga atau nama saintifiknya Centella Asiatica adalah sejenis tumbuhan menjalar yang tumbuh pada tanah subur, agak lembap dan mempunyai saliran baik seperti di kebun, ladang, tepi jalan dan batas sawah.
Ia membiak melalui pecahan anak dan pada asalnya ia di makan sebagai ulam untuk menambahkan selera makan kerana daunnya wangi dan manis. Jenis-jenis pegaga di Malaysia adalah pegaga Cina atau Nyonya, daun lebar, Kelantan, renek, salad, gajah dan pegaga Brunei.
Siapa sangka, tumbuhan kecil ini besar khasiatnya kerana ia kaya dengan vitamin A dan C serta zat besi dan sering dijadikan sayur-sayuran ‘rasmi’ untuk wanita ketika berpantang. Biasanya seluruh bahagian pegaga iaitu daun, tangkai daun, batang, bunga, buah, dan akarnya mempunyai banyak kegunaan dan khasiat yang tinggi.
Di Indonesia, bunga dan buah pegaga tidak dimakan kerana ia dikatakan menjadi punca penyakit reumatisme sekiranya terlalu banyak dimakan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf pegaga sebagai herba menjana kecerdasan berfikir terutamanya di kalangan kanak-kanak kerana kaya dengan pelbagai ramuan ubatan.
Pegaga dikatakan dapat mengurangkan tekanan darah tinggi, mencegah nyanyuk dan melambatkan proses penuaan.Tetapi jika di India, bagaimanapun ia juga banyak digunakan untuk mengatasi masalah kulit.
Di Timur pula, pegaga digunakan untuk mengatasi masalah seperti kemurungan yang mungkin disebabkan oleh masalah fizikal. Daun pegaga berfungsi sebagai astringen dan tonikum. Selain itu, ia juga digunakan untuk rehabilitasi tubuh dan otak yang lemah serta untuk kesuburan wanita.
Dalam pada itu, ia juga mempunyai pelbagai keunikan untuk meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk di kalangan kanak-kanak kurang upaya.
Di Malaysia, pegaga amat popular di kalangan tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Bagi kaum Melayu, ia di makan secara segar sebagai ulam, bagi kaum Cina digunakan sebagai minuman penyejuk badan, manakala bagi kaum India pula ia digunakan sebagai tonik kecerdasan minda. Read more...