WANITA BERTANGAN GERGASI
>> Selasa, 21 Jun 2011
[PO] Seorang penjual mi dari Thailand berdepan dengan masa hadapan yang gelap apabila kedua tangannya membesar setiap hari menjadi tangan gergasi. Samaksamam Duangiai, 49, dari Wilayah Surin terpaksa memerapkan dirinya di rumah kerana malu dengan keadaan tangan gergasinya yang luar biasa.
Sewaktu dilahirkan, Duangiai mempunyai sepasang tangan yang normal. Bagaimanapun, ketika usianya mencapai 10 tahun, selepas berdepan dengan penyakit demam panas yang berlarutan keadaan tangannya mula menunjukkan perubahan. “Tapak tangan saya mula membesar dari bentuk asal begitu juga dengan kedua belah lengan saya. Walaupun boleh menggerakkan jari dan kedua belah tangan ia agak membebankan,” ujarnya.
Sebelum keadaan menjadi lebih parah, dia pernah mendapatkan rawatan dari doktor pakar, namun tangannya tetap membesar. Menurut Duangiai, dia pernah menjalani dua pembedahan membuang lemak dan isi di tapak tangannya. Kali pertama ketika berusia 25 tahun dan pembedahan kedua dilakukan lima tahun selepas pembedahan pertama.
“Doktor tidak dapat mengesan penyakit sebenar saya. Mereka hanya memaklumkan saya menghadapi dua kemungkinan sama ada masalah hormon yang tak stabil dan baka,” katanya.Duangiai yang mempunyai dua orang anak terpaksa membantu menguruskan peniagaannya. Suaminya pula bekerja sendiri bertani di kampung mereka.
Sehingga kini, tangannya seberat 10 kg menyukarkannya membuat kerja-kerja harian. Tapak tangan Duangiai yang membesar memaksa dia tidak banyak bergerak. Sebelum ini, kisah Duangiai pernah disiarkan dalam program televisyen ‘Believe or Not’ yang diketengahkan oleh William E Heinecke, pemilik Pattaya Royal Garden Plaza dalam usianya membantu nasib Duangiai.
Sejak beritanya tersebar luas, Duangiai mendapat perhatian ramai. Ramai pengunjung datang ke rumahnya untuk melihat sendiri keadaan kedua tangan gergasinya yang jarang ditemui di mana-mana.
Di wilayah Jiangsu, China pula, seorang lelaki, Liu Hua mempunyai nasib yang sama dengan Duangiai. Bezanya, jari tapak tangan kirinya membesar lima kali ganda dari bentuk asal jarinya.
Hua mempunyai tiga jari yang membesar selain tapak tangannya. Jari ‘telunjuk’nya berukuran 30sm panjang, ibu jari 26sm dan jari manis 15sm.Tangan kiri Hua seberat 14 kg memaksa dia tidak banyak bergerak. Dia pernah tiga kali menjalani pembedahan membuang tisu, isi jari dan tapak tangannya, namun ia masih membesar.
Dia pernah dimasukkan ke Hospital Rakyat di Shanghai untuk menjalani pembedahan dan rawatan susulan bagi memastikan keadaan tangannya tidak semakin teruk.Sehingga rencana ini ditulis, keadaan kedua-dua pasangan ini masih berdepan dengan masalah serupa mempunyai tangan dan jari gergasi.